Kenapa Emas ?

'
'


Ramai yang tidak sedar logam emas juga adalah makhluk Allah  SWT juga. Satu makhluk yang Allah naikkan nilai nya kerana  menurut dari satu cerita. Pada ketika Nabi Adam dan Hawa diusir keluar dari syurga, semua makhluk di syurga berasa sangat sedih kecuali Emas. Allah bertanyakan kepada emas, mengapa ia tak sedih….Emas menjawab “Buat apa aku nak sedih, sedangkan Adam dan Hawa sudah melanggar perintah Allah dengan memakan buah larangan” Jawab emas. Mulai saat itu, Allah jadikan emas sebagai barang yang dipandang tinggi dan berharga oleh manusia. Buktinya sekarang memang manusia memandang tinggi emas dan kebiasaannya emas dijadikan sebagai barangan untuk mengukur kekayaan,kemasyhuran serta kekuatan ekonomi sesesorang/sesebuah negara itu. Kenapa Emas ? Sifat fizikal emas yang dijadikan oleh Allah ini yang unik seperti tidak karat, mudah lentur dan mampu mengalirkan arus elektrik dengan baik menjadikannya sebagai pilihan dalam pelbagai kegunaan. Begitu juga nilai intrinsiknya yang membuatkan ianya menjadi pilihan dalam berbagai sektor ekonomi. Di sini saya cuba senaraikan dan huraikan beberapa kegunaan logam emas untuk memberi gambaran kenapa emas dipandang tinggi dan berharga oleh manusia sehingga permintaan terhadapnya tidak pernah susut.

1. Barang kemas - Reputasi emas sebagai barang kemas memang tidak dapat dinafikan lagi sejak berabad lamanya. Emas diterima oleh semua manusia tidak kira apa jua bangsa dan pegangan agama. Kilauan emas yang berwarna kuning mempunyai tarikan tersendiri yang tidak dapat ditandingi oleh logam lain bahkan mampu membangkitkan nilai emosional bagi pemakainya yang sukar untuk diungkapkan dengan kata - kata. 

2. Instrument pertukaran perdagangan - Berdasarkan kepada sejarah, alat pertukaran perdagangan pernah menggunakan pelbagai jenis bahan seperti kulit cengkerang, kayu, ayam, kambing dan sebagainya lagi sebelum penggunaan wang kertas seperti hari ini. Antara semua jenis bahan yang dijadikan medium pertukaran perdagangan, emas mempunyai sejarah penggunaan yang kerap dan lama dalam sejarah. Sehingga hari ini, emas masih lagi medium penyelesaian perdagangan yang melibatkan peringkat antarabangsa terutamanya melalui bank pusat sesebuah negara.

3. Instrument pelaburan - Penerimaan emas oleh manusia yang merentasi segenap pelusuk dunia menjadikan emas memiliki keupayaan sebagai penyimpan nilai. Dalam hal ini, emas memainkan peranan yang sangat penting. Harganya tidak pernah kehilangan nilai instrinsiknya dan sentiasa diterima apabila hendak dijual tidak kira di mana negara asalkan ia emas. Oleh itu, emas amat sesuai dijadikan sebagai alat pelaburan. Dekat kini semakin ramai yang beralih kepada emas sebagai medium pelaburan samaada kecil kecilan atau besar besaran. 

4. Rizab negara - Berdasarkan sifatnya sebagai penyimpan nilai yang terbaik, emas turut dijadikan sebagai rizab bagi sesebuah negara termasuklah negara kita, Malaysia. Kenaikan harga emas di pasaran secara automatik akan meningkatkan nilai rizab sesebuah negara tanpa peningkatan sebenar rizab negara secara fizikal. Paras rizab sesebuah negaralah dijadikan ukuran bagi menentukan keupayaan sesebuah negara itu membuat penyelesaian dagangan antarabangsanya.

5. Bidang perubatan - Kepesatan dalam bidang perubatan juga menghasilkan pelbagai kaedah rawatan dan peralatan baru bagi merawat penyakit-penyakit tersebut. Dalam banyak penemuan, emas digunakan samaada bagi kegunaan peralatan ataupun rawatan ke atas pesakit itu sendiri. Perkembangan yang positif ini meningkatkan permintaan emas bagi tujuan perubatan dan sumber bekalannya tetap datang dari sumber yang sama.

6. Bidang elektronik - Kesemua komputer hari ini boleh dikatakan mengandungi emas di dalamnya. Emas digunakan dalam CPU bagi menghubungkan litar semikonduktornya yang halus kepada pin di sekelilingnya. Emas dipilih kerana ia mempunyai kekonduktifan elektrik yang tinggi dan stabil secara kimiawinya.

7. Industri - Emas juga digunakan dalam sektor industri. Kebiasaanya emas digunakan sebagai pemangkin bagi mempercepatkan proses elektrokimia dan pemprosesan petroleum. Begitu juga ceritanya dalam bidang kajian nanoteknologi dan alam sekitar. Kesemuanya memerlukan bekalan emas yang berterusan. Persaingan sengit ini sudah semestinya akan menyebabkan kenaikan harga dipasaran lebih - lebih lagi apabila pengeluarannya semakin terhad. Kebanyakan pengguna tidak mempunyai banyak pilihan walaupun harga emas terus meningkat kerana dalam banyak perkara, kegunaan emas masih tidak dapat digantikan oleh bahan lain.