Kenali Sistem Pajak Gadai Islam ( Ar rahnu )






Akhir-akhir ini, dek kerana kejatuhan wang fiat di kalangan negara barat, orang ramai berpusu-pusu menukarkan sebahagian harta mereka ke dalam bentuk emas dan perak kerana kedua logam berharga ini kalis inflasi. Keghairahan fenomena ini turut menyumbang kepada keadaan di mana peti simpanan deposit di bank-bank sekitar Kuala Lumpur dan Malaysia umumnya penuh.

Cerdik pandai terutamanya pelabur muda yang agak agresif daripada datuk nenek kita yang menyimpan emas secara pasif sejak berzaman dahulu, golongan ini menggunakan sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) sebagai alat manipulasi demi mendapat keuntungan yang berlipat-lipat kali ganda daripada cara yang dipraktikkan ibu, bapa, datuk dan nenek mereka. Tetapi, persoalannya di sini, halal kah cara itu? Dan yang paling penting, bagaimana?

Sebelum berbicara tentang itu, mari kita kaji asal usul sistem pajak gadai Islam. Antara senario masa kini yang wujud di dalam pinjaman mikro kredit di negara ini ialah terdapat banyak perkhidmatan yang tidak selaras dengan undang-undang dan bercanggah dengan akhlak Islam sedang memenuhi jurang penawaran perkhidmatan kewangan kepada masyarakat dalam kelompok berpendapatan rendah.Terdapat dua hadis yang berkaitan dengan sistem ini :

  1. Dalam Riwayat Al Bukhari dan Muslim : “ Bahawasanya Nabi Muhammad saw menggadaikan (Rahn) diran (Baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abu Syahmi atas pinjamannya sebanyak 30 sha gandum untuk keluarganya.” 
  2. Dalam Riwayat Al Bukhari dan Muslim : “ Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi Muhamad SAW pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang di hutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi Muhamad SAW menyerahkan baju besinya .”

Di atas kesedaran itu, sistem pajak gadai islam Ar Rahnu ditubuhkan atas dasar fardu kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata oleh pelaksanaannya. Sistem yang dinamakan skim pajak gadai islam Ar Rahnu ini sebenarnya dilahirkan sehubungan dengan Akta 81 (Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 di bawah Seksyen 46). Ia juga merupakan rentetan daripada perlaksanaan Syariah dalam sistem perbankan pada awal 1983. Ianya telah dilaksanakan buat pertama kalinya oleh Majlis Agama Islam Terengganu pada 23 Januari 1993 dengan dikenali sebagai Muassasah Gadaian Islam Terengganu.

Memandangkan skim ini berdaya maju dan memenuhi kehendak dan hukum Syariah, beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri telah mula menceburkan diri. Kerajaan negeri Perlis, sebagai contoh, telah menubuhkan sistem pajak gadai islam pada Januari 1997. Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam perlaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan Dan Badan-Badan Berkanun Terengganu (KOKANUN).

Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga ( Faedah ) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional. Skim ini memberikan kemudahan alternatif kepada kemudahan pinjaman yang sedia ada di samping memberi pilihan kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan hukum Syariah.

Berbalik kepada cerita emas dan perak di awal artikel, salah satu daripada keuntungan menyimpan emas ialah ia boleh digadaikan di Ar Rahnu. Di Malaysia, perkhidmatan Ar Rahnu biasanya disediakan oleh bank-bank tertentu seperti Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Islam. Ada juga institusi lain seperti YAPEIM dan Permodalan Kelantan Berhad.

Skim ini beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran atau barang sandaran yang di-namakan marhun. Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga dijadikan sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Pendek kata, sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, maka marhun itu tadi boleh digunakan untuk menjelaskan baki hutang tersebut. Tujuan marhun ini ialah untuk meyakinkan tuan punya hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang tadi dapat dikurangkan. Sementara di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung beban pembayaran semula yang tinggi.

Ar Rahnu beroperasi berdasarkan dua konsep iaitu :

  1. Ar Rahnu yang merujuk kepada mekanisme di mana suatu barang berharga dijadikan sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan. 
  2. Al Wadiah Yad Dhamanah yang merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.

Menjawab persoalan yang disebut di awal artikel, ya sistem buat duit ’ ini adalah halal kerana ia memenuhi ciri-ciri berikut:

  1. Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan kehendak dan hukum Islam. 
  2. Ianya berkonsepkan fardu kifayah, iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan. 
  3. Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam dan pemberi pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh Syarak. 
  4. Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil dan amal jariah, adil dan tidak membebankan peminjam. 
  5. Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha, menyimpan barang gadaian tersebut dengan baik. 
  6. Transaksi perniagaan yang lebih telus, bersandarkan kepada harga semasa barang gadaian (Kebiasaannya barang gadaian ialah emas).

Dari segi rukun, Ar Rahnu terbahagi kepada :

  1. Penggadai = Orang yang menggadai/orang yang berhutang. 
  2. Penerima Gadaian = Pemegang gadaian/pemberi pinjaman. 
  3. Barang Gadaian = Barang yang berharga yang terletak di bawah simpanan penerima gadaian. 
  4. Tanggungan Gadaian = Jumlah yang terhutang. 
  5. Sighah/Perjanjian = Perjanjian berkaitan pinjaman yang diberikan atau hutang dan gadaian.

Selain daripada itu, ada beberapa terma yang perlu anda ketahui, antaranya ialah:

  1. Margin Pinjaman adalah 50 peratus nilai semasa di pasaran ke atas cagaran. Biasanya margin ini boleh mencecah sampai 70% (Agro Bank). 
  2. Kadar Upah Simpan ialah sebanyak RM0.60 sebulan setiap RM100 nilai marhun (Nilai marhun yang kurang daripada RM1000). RM0.70 sebulan setiap RM100 nilai marhun (Nilai marhun yang lebih daripada RM1000). Ini sebenarnya adalah cara Ar-Rahnu membuat keuntungan memandangkan sistem pajak gadai Islam tidak mengenakan faedah ke atas pinjaman yang diberikan seperti mana kedai pajak gadai dan bank konvensional. 
  3. Tempoh Pinjaman pula ialah enam bulan untuk maksimum. Jika penggadai gagal menebus dalam tempoh tersebut, pihak pajak gadai islam boleh memberi tempoh kelonggaran penebusan untuk 2 bulan lagi tanpa permohonan daripada peminjam. Di peringkat ini, peminjam tidak semestinya membayar upah simpan. Jika penggadai masih tidak menebus dalam tempoh kelonggaran, tempoh gadaian boleh dilanjutkan untuk tempoh maksimum 2 bulan lagi dengan syarat penggadai membuat permohonan melanjutkan tempoh dan menjelaskan upah simpan pada tempoh gadaian yang asal dan tempoh kelonggaran selama 8 bulan. 
  4. Cagaran ialah emas tulen (Bergantung kepada keadaan fizikal dan jenisnya). 
  5. Hasil Lelongan yakni barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Pastikan anda jangan sampai ke tahap ini.

Baiklah, setelah ilmu penuh di dada, di sini diterangkan cara manipulasi yang diamalkan golongan pelabur emas muda yang disebut di awal artikel. Caranya mudah sahaja, sangat common sense. Begini, ketika harga emas rendah (Harga komoditi emas harian boleh dilihat di www.kitco.com), mereka memajakkan emas di Ar Rahnu. Dengan hasil pajakan yang sampai 50%-70%, mereka beli lagi emas, contohnya Syiling Emas UOB, Kijang Emas atau jongkong emas Public Gold. Kemudian, mereka memajakkan pula emas-emas yang baru dibeli itu. Hasil pajakan kali kedua digunakan untuk beli lagi emas fizikal.

Proses diulang-ulang sehingga 2-3 kali. Di hujung proses, emas fizikal dipastikan ada di tangan. Apabila harga emas naik, mereka menjual emas fizikal di tangan dan hasil jualan digunakan untuk tebus emas di dalam Ar Rahnu dan proses diulangi sehingga semua emas habis ditebus. Di akhir proses, mereka akan dapat semua emas yang pertama. Inilah cara mereka membuat keuntungan kerana jualan emas pada harga tinggi boleh menampung kos upah simpan di Ar Rahnu bagi emas-emas yang digadaikan. Hebat kan mesin buat duit ni? Jika anda masih tidak yakin, teruskan membaca.

Beberapa kelebihan Ar Rahnu berbanding sistem pajak gadai konvensional ialah :

  1. Perbezaan utama antara Ar Rahnu dan sistem pajak gadai konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar Rahnu, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam. 
  2. Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak akan timbul keadaan di mana barang kemas yang anda tebus kurang berat daripada sebelum digadai. 
  3. Semua barang kemas yang disimpan semestinya selamat. Penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Anda juga dapat jimat kos menyimpan di peti simpanan deposit yang agak mahal. 
  4. Wang gadaian yang lebih akan dipulangkan. Kalau pemberi gadaian tak mampu nak bayar balik hutang yang ditanggung bila tempoh perjanjian tamat, pemberi gadaian akan dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Kalau harga jualan melebihi baki hutang, lebihan tersebut akan dipulangkan. 
  5. Caj perkhidmatan di Ar Rahnu jauh lebih murah daripada kedai pajak gadai konvensional. 
  6. Ar Rahnu adalah sebuah pajak gadai islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannya berkaitan tempoh bayar balik wang pinjaman. Tempoh bayar balik pun munasabah.  Di Ar Rahnu, sebarang nilai timbangan akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian. Maka pemberi gadaian tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. 
  7. Ar Rahnu dijamin memberi nilai gadaian yang sepatutnya.
  8. Terdapat unsur penipuan dalam sistem pajak gadai konvensional kerana akta pemegang pajak gadai tidak menetapkan nilai tara untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai. 
  9. Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.
Semoga dengan adanya sistem pajak gadai islam Ar Rahnu ini, ia dapat memberi pilihan kepada masyarakat Islam yang memerlukan pinjaman segera agar tidak lagi terbelenggu dengan sistem pajak gadai konvensional yang lebih bersifat menindas.

sumber: http://www.usahawan.com