Zakat Emas Dan Perak





Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ianya diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Rukun yang lain ialah Syahadah, Sembahyang, Puasa dan Haji ke Mekah. Zakat adalah diwajibkan ke atas Muslim yang layak untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan. Zakat mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah.

Emas adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:

"Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu".
(At- Taubah; ayat 34-35)

Pengiraan Zakat Emas


Zakat Emas dikira dalam dua keadaan :

1. Emas yang tidak dipakai (disimpan)




Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh:
- 2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
- Contoh : 2.5% x 85 gram (Katakan harga semasa RM160/gram)
- 2.5% x (85 gram x RM160.00)
- Jumlah zakat = RM340

2. Emas yang dipakai



Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi 'uruf' (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf.

Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menetapkan kadar uruf: 150 gram emas. Contoh :

- Berat Emas yang dipakai = 250 gram
- Uruf Emas = 150 gram
- Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram – 150 gram = 100gram
- Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)

= 2.5% x (100 gram x RM 77.16)
= RM 192.9

Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.
  1. Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
  2. Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
  3. Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
  4. Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
  5. Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
  6. Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
  7. Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
  8. Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
  9. Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
  10. Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
  11. Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
  12. Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
  13. Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
  14. Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram

Pengiraan Zakat Perak








Bagi zakat perak, ia perlu memenuhi syarat cukup haul dan nisab. Haul ialah tempoh masa setahun Nisab zakat perak sebanyak 200 dirham iaitu sama atau melebihi 595 gram (1 dirham= 2.975 gram).

Formula: [berat perak (gram)] x [harga perak semasa/gram] x 2.5%

Contoh: Anda menyimpan 1kg perak 999
- Katakan harga semasa 1kg perak 999 adalah RM4600
- Zakat perak yang wajib dibayar = 2.5% x RM4600
RM115.00


Hikmah Diwajibkan Zakat

Ibadat zakat yang difardhukan mempunyai beberapa hikmahnya misalnya:

1.Mendidik manusia berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Secara tidak langsung ia menjadi satu pelaburan yang paling menguntungkan samaada di dunia atau akhirat kepada pembayarnya.
2.Mewujudkan semangat persaudaraan yang kukuh di kalangan orang Islam.
3.Melahirkan masyarakat Islam yang aman harmoni dan saling tolong menolong.
4.Memajukan masyarakat dalam bidang ekonomi, sosial, dan pendidikan.
5.Melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya mengamalkan sikap tolong-menolong untuk kebaikan bersama.
6.Syiar Islam dapat ditingkatkan dengan baik dalam keseluruhan kehidupan umat Islam.
7.Wang zakat dapat digunakan untuk membantu pelajar-pelajar  Islam yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran;
8.Membantu golongan susah supaya dapat merasai kesenangan hidup.
9.Dan sudah semestinya diantara peranan zakat yang paling utama adalah untuk menyucikan harta kita selaras dengan rukun islam yang ke 4. Harta yang dipertanggungjawabkan kepada kita buat sementara waktu.  Firman Allah S.W.T Surah Al Hajj ayat 41:

"Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan"

Orang Yang Berhak Menerima Zakat

1. Orang fakir = Orang yang tidak berharta untuk memenuhi keperluan asas.
2. Orang miskin = Orang yang mempunyai harta tetapi hanya cukup memenuhi keperluan dirinya.
3. Amil = Orang yang mengurus pungutan dan pembahagian zakat.
4. Mualaf = Orang yang baru memeluk Islam (saudara baru).
5. Hamba yang ingin memerdekakan dirinya.
6. Orang yang berhutang.
7. Orang yang berjuang pada jalan Allah S.W.T.
8. Musafir yang terkandas.


**Jika emas berada di pajak gadai, tidak dikenakan zakat kerana bukan hak milik sempurna.
** Rujukan: http://web.e-zakat.com.my/baru/organisasi/faq.asp