Ramalan Ekonomi Malaysia 5 Tahun Dari Sekarang





Saya tiada pernah belajar ekonomi dari mana-mana universiti. Saya hanya belajar 'by heart' dengan memerhatikan mekanisma ekonomi yang berlaku dalam negara dan di luar negara. Ada baik juga orang kurang cerdik ekonomi macam saya bercerita tentang ekonomi. Kalau orang pandai menulis, orang pandai sahaja faham dan orang kurang cerdik ni macam mana pula?

OK, itu bukan isu yang nak saya ceritakan. Tapi mudahnya, saya belajar ekonomi by heart tanpa paper. Maka, jangan percaya sangat ramalan yang saya tulis ini. Baca sahaja, TRUST WITH YOUR OWN RISK.

Secara terperinci saya tidak tahu, tetapi ramalan saya dalam tempoh 3-5 tahun ini, Malaysia akan mengalami STROKE EKONOMI. Beberapa fenomena yang membimbangkan sedang terjadi. Saya nak mudahkan sahaja supaya orang tak pergi sekolah ekonomi pun boleh faham.

Satu yang anda perlu faham ialah tentang hutang negara. Dengan siapa negara berhutang? Risau sangat sampai sebahagian yang juga dah jadi ahli politik pun gelabah ayam takut negara tergadai macam hutang kereta bila tak bayar nanti kena tarik balik dengan tonto. Siapa nak tarik negara? Ini penjelasan saya. Kerajaan perlukan wang untuk bangunkan negara. Pendapatan kerajaan datang dari beberapa sumber utama seperti :

(BAHAGIAN A - SUMBER / DARI KERAJAAN)

1. CUKAI (Pelbagai jenis cukai - GST, Cukai pendapatan, Kastam, dll).
2. Hasil dari GLC (Syarikat seperti Petronas, TNB, Telekom dll).
3. Lain-lain.

(BAHAGIAN B : TABUNGAN / SUMBER DARI RAKYAT)

1. Simpanan wang anda dalam bank.
2. KWSP.
3. Tabung Haji .
4. Segala wang-wang dalam bank (SSPN, ASB dll).
5. Lain-lain (e.g Rizab dalam dan luar negara dll).

Cuba alirkan satu hos air ke dalam sebuah baldi sehingga melimpah. Apabila baldi dah penuh, air masuk dan air keluar lebih kurang sama kuantitinya. Sebahagian air dalam baldi itu adalah air yang sama tak berolak. Sama seperti bank. Ada masuk ada keluar dan ada juga yang duduk diam-diam dalam tu. Hasil dari sumber akan digunakan untuk menjalankan operasi dan membangunkan negara oleh pemerintah yang dipilih. Jika dana dari sumber itu (Bahagian A) tidak mencukupi, maka negara akan meminjam dana dari Bahagian B. Ia sama seperti konsep pinjam tabung anak sementara gaji belum masuk. Bila dah dapat gaji, kita bayar balik tabung anak yang kita guna. Dalam masa yang sama, kita perlu pastikan bila anak nak pakai duit dalam tabung itu, duit itu ada di situ. Jika Si Bapa boros sangat, duit gaji habis hari pertama dan kedua lama - kelamaan duit tabung anak pun kering kontang dah tak ada apa untuk dikorek lagi. 

Apabila jumlah hutang Si Bapa yang pinjam duit anak itu bersamaan dengan duit tabung anak maka...itulah analogi MUFLIS (Syaratnya, duit gaji dah habis diguna pakai dan guna duit tabung anak selepas itu). Hutang lama tak sempat nak bayar, dah buat hutang baru. 

Ternyata, tabung besar kita ialah KWSP. Ia merupakan satu simpanan paksa. Apa yang Si Bapa akan buat jika tabung anak semakin kosong?. Si Bapa perlu membuka tabung baru yang cantik-cantik dan sarankan kepada anak untuk menabung di situ  dengan janji bulan dan bintang. Itulah analogi BON, Sukuk (Islamik) dan juga yang paling mudah untuk faham...Amanah Saham. Kerajaan mempromosikan kepada orang ramai untuk menyimpan duit dalam bank dan bukan keluarkan wang untuk berniaga, beli emas atau hartanah yang terbukti lebih menguntungkan orang

Anak yang selalu menabung tapi terasa tabung tak bertambah berat akan mula sangsi dan mula menabung di tempat lain pula. Ada yang ambil duit itu berniaga,beli emas atau hartanah dan ada juga yang tak menabung dengan tabung jagaan bapa tetapi menabung dengan tabung jagaan Cik Senah sebelah rumah yang dirasakan lebih dipercayai. 

Situasi pada ketika ini, sumber negara tidak mencukupi untuk menampung kos negara dan pembangunannya serta tidak cukup juga untuk bayar pinjaman kepada penabung. Maka, akibat seterusnya adalah perkara-perkara seperti berikut :

1. Kenaikan cukai.
2. Pengenalan cukai baru.
3. Adjustment BLR (Kadar faedah pinjaman).
4. Cetakan wang.
5. Pengurangan subsidi etc.

Perkara di atas akan berlaku dan ia sedang berlaku. Yang paling merisaukan kerana itulah punca inflasi. Keupayaan membeli berkurang, nilai RM1 dulu tak sama dengan RM1 sekarang. Kalau dulu RM1 boleh beli sekilo kacang, hari ini RM1 boleh beli 500g sahaja. Itulah inflasi kerana mereka yang bergaji RM10,000 hari ini merasakan ia seperti RM5000 sahaja. Mekanisma nilai RM jatuh itu satu topik lagi yang harus dititik beratkan oleh orang ramai. 

Kesimpulannya, jangan panik Malaysia tak mungkin kena tarik jadi milik orang lain kecuali kalau Si Bapa yang hutang anak tu pinjam duit dari Cik Bedah, ceti depan rumah untuk bayar hutang anak. Cik Bedah tanya apa nak cagar, kemudian Si Bapa setuju dengan cagaran yang dicadangkan. Maka Cik Bedah pun melonggokkan duit kepada Si Bapa dan Cik Bedah berpegang kepada janji. Si Bapa bayar hutang anak sampai selesai tetapi tak selesai pun, Si Bapa cuma alihkan hutang itu kepada Cik Bedah. Nanti bila Si Bapa tak boleh selesaikan hutang kepada Cik Bedah maka secara automatiknya cagaran menjadi hak milik Cik Bedah. Dalam konteks ini, Cik Bedah ialah IMF

Dalam 3-5 tahun lagi, Malaysia akan sampai ke persimpangan itu. Duit tabung anak dah habis dikorek, siap korek tabung atuk yang dah bersara. Pendapatan macam tu juga dan tak cukup untuk bayar balik pinjaman. Si Anak pula dah hilang kepercayaan daripada duit habis di kebas, baik Si Anak cuba untuk berniaga, beli emas atau hartanah. Sesuatu yang mungkin baru kepada Si Anak tetapi lebih bagus untuk Si Anak belajar berdikari daripada terus mengharap kepada Si Bapa untuk hidup.

Pada ketika itu, Malaysia diambang muflis. Memang tak payah risau negara tergadai selagi tak pinjam dari Cik Bedah (IMF). TETAPI...Dari manakah lagi wang untuk dikorek oleh kerajaan untuk mereka yang cucuk duit di ATM?. Jika keluarpun duit itu, berapa murah nilai duit itu nanti? Adakah perlu bawa seguni RM untuk beli sekilo ikan kembung?

Siapakah PENYELAMAT ketika itu?

Di tangan rakyat ada wang dan aset yang tidak berada dalam tabungan (Bahagian B). Di tangan rakyat ada emas yang berkilo - kilo. Di tangan rakyat ada kekayaan yang disimpan dengan jiran. Di tangan rakyat ada cukai yang patut dibayar. Di tangan rakyat ada PENENTU

Si Bapa kena bijak,Si Bapa kena berjimat, Si Bapa kena pandai berniaga, Si Bapa kena pandai kawal risiko, supaya harta anak tidak dibazirkan lagi. Si Anak pula jangan pula terlalu ego sangat untuk ajar Si Bapa sampai nanti Si Bapa pinjam dari Cik Bedah dengan menggadaikan rumah atau sebagai dengannya. Si Anak juga perlu bijak, berjimat, pandai berniaga dan kena pandai mengawal risiko supaya Si Bapa tidak terdesak untuk meminjam dari Cik Bedah. Itulah kebangkitan kuasa rakyat yang sebenar...

Itulah bermulanya ERA BARU EKONOMI
Itulah KEMERDEKAAN SEMULA NEGARA
Itulah reformasi RAKYAT.
Itulah Transformasi NEGARA.

Semuanya ada pada kita. Pemimpin hanya mentadbir bukan hanya tahu mengambil. Manakala rakyat juga perlu faham situasi dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan ekonomi serta taraf hidup kendiri. Kita masih belum terlambat, ekonomi sudah parah tetapi masih belum terlambat. Setiap orang perlu sedar dan mainkan peranannya. Untuk renungan bersama, agar kita sama-sama berfikir.