Daripada Mymetro
Artikel ini disiarkan pada : 11/06/2012
Emas semakin mendapat perhatian orang ramai dan lebih
banyak individu mula memilih emas sebagai medium kalis inflasi untuk jangka
masa panjang. Namun, beberapa syarikat mengambil kesempatan memperkenalkan
skim pelaburan emas yang kelihatan menguntungkan tetapi sebenarnya hanya
menipu pelabur. Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri
dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Hijjaz Gold Sdn Bhd, Md Zamri Mohamad
Nazir mengenai pelaburan emas dan tip memaksimumkan pelaburan.
ADAKAH pelaburan emas boleh memberi banyak keuntungan kepada pelabur?
Terdapat dua cara untuk membeli emas iaitu melalui ejen yang
mendapatkan bekalan emas dari kilang atau membeli emas terpakai.
Kedua-dua cara ini boleh memberi keuntungan kepada pelabur, namun
memerlukan masa dan tidak boleh memberi keuntungan serta-merta. Cara yang terbaik untuk mengoptimumkan keuntungan ialah dengan
mendapatkan emas pada harga paling rendah iaitu melalui pembelian emas
terpakai. Ini kerana emas tetap dikira sebagai emas walaupun patah atau rosak
kerana jika dileburkan ia masih dikira emas dan boleh dijual mengikut
harga pasaran.
Adakah pelaburan emas fizikal lebih menguntungkan berbanding
pelaburan emas mengikut harga pasaran seperti ditawarkan beberapa
institusi kewangan?
Pelaburan emas fizikal adalah yang terbaik kerana pemilik emas boleh menilai dan memiliki emas dibeli. Pelaburan emas berdasarkan harga emas tanpa mendapat produk emas
dikategorikan sebagai haram kerana hanya membabitkan permainan harga
tanpa memiliki emas sebenar. Ia turut berisiko menyebabkan pelabur tertipu kerana tidak dapat
menilai emas mengikut harga pasaran berikutan hanya bergantung kepada
harga ditetapkan institusi kewangan.
Apakah cara terbaik untuk mengelak terperangkap dengan skim emas berunsur penipuan?
Apa-apa bentuk perniagaan atau pelaburan yang ingin dilakukan perlu
dilengkapkan dengan pengetahuan dan maklumat kerana dapat mengelak
pelabur tertipu. Bagi melabur dalam emas, pelabur perlu mempunyai pengetahuan indeks
harga emas, trend turun dan naik harga emas, cara mengenal pasti emas
tulen dan tiruan serta yang paling utama teknik mendapatkan emas paling
murah. Jika memiliki ilmu berkaitan emas, pelabur emas boleh mendapat keuntungan serta-merta jika tahu cara yang betul.
Bagaimana jika seseorang individu ingin membuat simpanan emas untuk jangka panjang?
Menabung emas adalah lebih baik daripada wang kerana harga emas boleh meningkat walaupun mengambil masa lama. Bagaimanapun, jika seseorang ingin menjadikan emas sebagai medium
simpanan, ia adalah langkah terbaik kerana sekurang-kurangnya nilai
simpanannya meningkat berbanding simpanan wang yang boleh dikeluarkan
bila-bila masa. Bagaimanapun, untuk memastikan simpanan emas dilakukan memberi
pulangan tinggi, pelabur perlu mendapatkan emas pada harga paling rendah
sama ada melalui harga kilang atau membeli emas terpakai.
Apakah langkah yang perlu diambil jika seseorang individu itu berminat membuat pelaburan emas?
Sebelum membuat pelaburan dengan jumlah wang yang banyak adalah lebih baik sekiranya pelabur mendapatkan ilmu berkaitan emas. Ini bagi membolehkan pelaburan yang dibuat tidak merugikan kerana
jika mengikut cara salah, pelaburan itu menjadi sia-sia dan pelabur
mungkin menanggung kerugian walaupun ia berkaitan pelaburan emas. Pastikan jenis pelaburan ingin dibuat, sama ada untuk simpanan
sendiri bagi jangka panjang atau melabur untuk mendapat keuntungan
kerana ia membabitkan konsep dan sistem berbeza. Selain itu, mereka yang berminat boleh mula memantau sendiri harga
emas dunia di www.goldprice.org atau www.kitco.com untuk menilai sendiri
turun naik harga emas dalam tempoh tertentu.